Sejarah PKG Bakri

Pusat Kegiatan Guru (PKG) Bakri, Muar, Johor adalah sebuah daripada 367 buah PKG yang terdapat di seluruh negara. PKG Bakri merupakan rangkaian Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Johor dan Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia yang diamanahkan serta dipertanggungjawabkan sebagai institusi pendidikan, bagi mengadakan kegiatan ikhtisas mengikut keperluan untuk mempertingkatkan prestasi pengajaran dan pembelajaran serta kualiti pendidikan di sekolah.

Pada awal penubuhanya, PKG Bakri ini terletak di Sekolah Kebangsaan Bandar Maharani, Muar yang telah memulakan operasinya pada 01.08.1991, dengan nama Pusat Kegiatan Guru Bandar Maharani, Muar. Bilik asalnya yang terletak searas dengan Pusat Sumber Sekolah berkenaan telah dipindahkan ke sebelah kantin sekolah apabila terbabit dalam kebakaran.

Oleh kerana bilik tersebut tidak sesuai sebagai sebuah PKG, Pejabat Pendidikan Daerah Muar dan Pusat Sumber Pendidikan Negeri Johor, telah mendapat persetujuan pentadbiran Sekolah Kebangsaan Bakri Batu 5, untuk menempatkan PKG Bandar Maharani di sekolah berkenaan.

PKG telah dipindah lokasi oleh Pejabat Pendidikan Daerah Muar ke Sekolah Kebangsaan Bakri Batu 5, Muar dan mula beroperasi di sana pada 16.12.1997. Bilik PKG ditempatkan searas dengan pejabat pentadbiran dan makmal komputer KDP sekolah berkenaan. Pihak Pusat Sumber Pendidikan Negeri Johor telah menukarkan nama PKG tersebut sebagai PKG Bakri.

Memandangkan kepada pertambahan 2 orang staf lagi di PKG, ruang yang lebih luas diperlukan. Pihak Sekolah Kebangsaan Bakri Batu 5 juga menghadapi masalah kekurangan bilik darjah. Hasil mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Teknologi Pendidikan Daerah Muar dan perbincangan dengan pihak pentadbir Sekolah Kebangsaan Seri Bukit Batu, Muar, PKG Bakri terpaksa dipindah lokasi sekali lagi. Mulai 01.12.2005, PKG Bakri memulakan operasinya di Sekolah Kebangsaan Seri Bukit Batu, Muar. PKG Bakri di tempatkan di sebuah bangunan 1 bilik bersebelahan makmal komputer sekolah berkenaan.

Mulai April 2009, PKG Bakri telah mendapat tambahan seorang lagi stafnya. Sehingga hari ini, lengkaplah perjawatan yang diperuntukan bagi sebuah PKG iaitu 2 orang Pegawai Teknologi Pendidikan, seorang Pembantu Tadbir dan seorang Juruteknik Komputer.

Antara pegawai yang pernah menerajui PKG Bakri adalah:

  • Tn Hj Sha'piee bin Ali (sehingga 2000)
  • En Aziz bin Atan (1 Ogos 2000 -  31 Ogos 2013)
  • Pn Teh Teow Yen (1 Sept. 2013 hingga sekarang)